Tuesday, December 3, 2013

Pengurusan Pembangunan Islam(ISDEV)
Tugasan Blog SIW505
Ashikin Bt Ismail
PSM-0042/13
“TASAWUR ISLAM DALAM MEMIKUL AMANAH ALLAH:HARTA”

PENGENALAN
            Islam merupakan agama yang syumul dan meliputi seluruh aspek kehidupan termasuklah aspek harta. Islam juga tidak menghalang umatnya untuk memiliki harta kerana harta merupakan satu perkara yang penting untuk menjamin kesinambungan hidup.  “Harta merupakan salah satu keperluan asas dalam kehidupan manusia. Allah S.W.T menyediakan harta adalah khusus untuk menjamin kepentingan manusia supaya boleh hidup dengan baik dan sempurna”(Pengurusan Harta dalam Islam).
“Tidakkah kamu memerhatikan bahawa Allah telah menundukkan apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi untuk kepentinganmu dan menyempurnakan nikmatnya untukmu lahir batin. Tetapi di antara manusia ada yang membantah keesaan Allah tanpa ilmu atau petunjuk dan tanpa kitab yang memberi penerangan”
(Luqman, 31:20)
            Dari perspektif tasawur Islam, harta boleh didefinisikan sebagai “anugerah Allah S.W.T kepada manusia. Harta boleh dimiliki oleh setiap manusia melalui usaha dan ikhtiar mereka sendiri”(Safaee b. Zakaria) Harta bukan hanya untuk kepentingan dunia semata-mata sebaliknya harta juga menyumbang kepada kebahagian insan di akhirat dengan menjadikan harta itu sebagai satu amanah dari Allah S.W.T. Oleh sebab itu penulisan ini membincangkan konsep harta menurut tasawur Islam dan pengurusan harta menurut tasawur Islam.

KONSEP HARTA MENURUT TASAWUR ISLAM
            Konsep harta menurut tasawur Islam ialah sentiasa meletakkan Allah sebagai pemilik mutlak harta tersebut. Hal ini kerana berdasarkan definisi harta mengikut perspektif Islam, Allah menganugerahkan harta kepada manusia. Jadi tidak ada satu pun harta di atas muka bumi ini menjadi milik manusia secara mutlak sebaliknya hanya pinjaman sementara. Harta yang dimaksudkan termasuklah juga diri sendiri, anak-anak, kereta, rumah, wang ringgit dan sebagainya lagi. Kenyataan ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah yang bermaksud:

“Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah”.
(Al-Baqarah, 2:284)
“Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar”.
(At-Taghabun, 64:15)

            Konsep tasawur Islam yang kedua ialah harta merupakan amanah dari Allah S.W.T kepada manusia untuk diuruskan dengan cara yang telah ditetapkan olehnya. Manusia perlu menunaikan amanah terhadap harta yang dimiliki. Sebagai contoh anak-anak merupakan harta kepada kedua orang tuanya dan merupakan amanah daripada Allah. Jadi amanah tersebut perlulah diuruskan dengan baik seperti memberikan pendidikan agama yang cukup, menjaga dari segi makan dan pakai, menyediakan keperluan zahir dan juga memberi kasih sayang. Banyak lagi yang boleh dilakukan untuk menjaga amanah harta dari Allah tetapi sebagai pemegang amanah tidak boleh mengganggu hak orang lain dan perlu mengikut syariat Islam.
            Konsep tasawur Islam yang ketiga ialah harta yang cukup syarat-syaratnya perlu di tunaikan haknya. Hak ini bermaksud hak orang Islam lain yang terdapat rezeki harta seperti yang difirmankan oleh Allah yang bermaksud:
“Dan pada harta-harta mereka terdapat hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian(yang tidak meminta)”
(Adz-Dzaariyaat, 51:19)
Oleh sebab itu harta yang digunakan perlu dengan berhemah agar harta yang dimiliki membawa keredhaan Allah kepada pemiliknya. Salah satu cara untuk menunaikan haknya ialah dengan mengeluarkan zakat. “Zakat bukan sahaja semata-mata untuk menunaikan haknya malahan untuk membersihkan harta dan menyucikan jiwa”(Mengapa Zakat Penting) seperti dalam firman Allah S.W.T:
“Ambillah zakat itu dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan (harta) dan mensucikan (jiwa) mereka”
(At-Taubah, 9: 103)
            Tasawur Islam yang keempat mengenai harta merupakan ujian dari Allah S.W.T kepada manusia untuk menentukan tahap keimanan. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“Dijadikan indah padapandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allah tempat kembali yang baik (syurga)”
(Al-Imran , 3:14)
“Kamu sungguh-sungguh akan diuji terhadap hartamu dan dirimu”
(Al-Imran, 3:186)
            Ayat tersebut menjelaskan bahawa harta merupakan satu bentuk kesenangan yang Allah S.W.T beri tetapi sebaik-baik kesenangan hidup itu adalah kembali kepada Allah S.W.T dan mendapat ganjaran syurga. Manusia juga akan diuji oleh Allah S.W.T dengan harta yang dimiliki. Ujian Allah S.W.T datang dalam pelbagai bentuk, antaranya ialah harta musnah dalam kebakaran, hidup sentiasa dalam ketakutan kerana bimbang harta dirompak dan lalai untuk menunaikan ibadat wajib seperti solat kerana sibuk dengan harta yang dimiliki. Tetapi “harta juga boleh menjadi kekuatan untuk menegakkan kebenaran jika harta tersebut dimanfaatkan kepada pembangunan ummah”(Didin Hafidhuddun, 2008)
            Konsep harta mengikut tasawur Islam yang seterusnya ialah harta yang diperoleh dan dibelanjakan mesti dengan cara yang halal. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu”
(Al-Baqarah, 2:168)
Ayat tersebut memerintahkan untuk umat Islam untuk makan makanan yang halal baik dari segi bahan mahupun halal dalam mencari dan cara menggunakannya. “Terdapat dua takrifan halal, yang pertama halal lidzathi(halal bendanya) yang kedua ialah halal lithariqatihi(halal cara cara dan wasilah) mendapatkannya”(Didin Hafidhuddin,2008). Selain itu Islam menuntut supaya umatnya mencari harta secara halal kerana bagi mengelakkan daripada penindasan dan penganiayaan seperti mendapatkan harta melalui riba, monopili dan sebagainya. Selain itu, menurut Sayyid Qutbh yang dipetik dari Tafsir Fi Zhilalil Quran, memiliki harta secara halal adalah untuk mengelakkan permusuhan dan perbalahan semasa mendapatkannya.
           
PENGURUSAN HARTA MENURUT TASAWUR ISLAM
            Menurut Institusi Kefahaman Malaysia, terdapat 4 cara pengurusan harta mengikut tasawur Islam yang disarankan. Cara menguruskan harta yang pertama ialah menunaikan hak wajib terhadap harta. Jadi secara tasawur Islamnya perbelanjaan mestilah secara betul dan bertanggungjawab. Maksudnya ialah membelanjakan harta mengikut syariah seperti mengeluarkan zakat wajib, membelanjakan untuk diri dan keluarga atau melakukan perkara yang tidak wajib seperti sedekah, derma, untuk melayan tetamu dan sebagainya. Melalui strategi perbelanjaan yang betul dan bertanggungjawab ini maka tugas dan peranan harta telah dilaksanakan dengan adil kerana hasil daripada itu ia telah menampung segala keperluan individu, masyarakat, negara dan umat seluruhnya.
Kedua, membelanjakan harta dengan berhemat dan tidak membazir. Menyekat sifat bakhil dan menghalang boros dan pembaziran sebaliknya tasawur Islam mendokong kesederhanaan. Al-Quran dan al-Sunnah dalam mengatasi masalah kedekut dan membazir harta. Sifat kedekut digambarkan sebagai sifat yang dibenci oleh Allah S.W.T manakala sifat membazir pula digambarkan sifat yang dimiliki oleh saudara kepada syaitan. Malah punca kepada kehancuran umat juga bermula daripada sifat kedekut dan membazir. Melalui strategi kedua ini pengendalian harta dapat mencapai objektif keadilan kerana konsep kesederhanaan akan menguasai kegiatan ekonomi dan pengurusan harta. Apabila kesederhanaan dapat direalisasikan dalam kegiatan itu maka harta dapat berfungsi dengan baik dan dapat dimanfaatkan oleh semua pihak dengan adil dan saksama.
Ketiga, memanfaatkan harta untuk kepentingan orang ramai terutama umat Islam. Dari sudut tasawur Islam memfungsikan harta untuk keperluan diakui oleh syarak seperti keperluan yang mendesak di dalam negara. Imam al-Ghazali menyatakan harus bagi kerajaan mengambil kadar tertentu dari harta rakyat yang kaya berdasarkan keperluan negara misalnya bagi menjaga keamanan rakyat kerana negara mengalami masalah kekurangan wang dalam perbendaharaan atau baitul mal. Namun begitu ianya mestilah dilakukan dengan adil tanpa tekanan dan kezaliman. Ini bererti jika negara menghadapi bencana kemarau, banjir dan sebagainya sehingga memerlukan bantuan yang besar sedangkan negara tidak mampu menanggung jumlah tersebut maka disitulah adanya keadilan jika harta orang kaya difungsikan untuk mengatasi penderitaan orang ramai.
Kempat melindungi harta dari pencerobohan dan pengkhianatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seperti kecurian, rompakan, samun, pemusnahan, rampasan dan sebagainya. Sekaligus menjamin pemilik harta dari gangguan pihak yang tidak bertanggungjawab. Apabila pencerobohan harta tidak dikawal dan dibanteras, maka akan menyebabkan berlakunya kekacauan yang boleh membawa kepada kehancuran dan kemusnahan. Melalui tasawur Islam pengurusan harta, harta dilindungi dengan baik sehingga dapat dimanfaatkan oleh pemiliknya dan seluruh masyarakat.

PENUTUP
            Perkara yang disebutkan tadi jelas menunjukkan kemantapan dan kesempurnaan syariah dalam pengurusan harta. Kemantapan dan kesempurnaan inilah yang dapat menjamin seluruh kepentingan dan kebaikan masyarakat. Namun begitu sekiranya manusia tidak menghayati tasawur Islam dan mengimplimentasikan dalam kehidupan seharian, segala kebaikan yang ditonjolkan oleh syariat itu tidak memberi apa-apa erti. Apa yang perlu sekarang ialah sistem pengurusan harta mengikut Islam mesti dijadikan landasan kepada seluruh kegiatan hidup samada yang melibatkan aspek perekonomian dan sebagainya.
           
           


BIBLIOGRAFI
Buku
Al-Ghazali, 2007, Rahasia Halal Haram, Penerbit Mizania, Bandung
Arief Salleh Rosman, 2002, Harta Intelektual Menurut Fiqh Islam, Universiti Teknologi Mara, Skudai, Johor.
Didin Hafidhuddun, 2008, Agar Harta Berkah dan Bertambah, Gema Insani, Jakarta.
Hairunnaja Najmuddin, 2003, Psikologi Ketenangan Hati, PTS Millennia Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.
Hailani Muji Tahir, 1986, Pengenalan Tamadun Islam dalam Institusi Kewangan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Selangor.
Mohd Nahar Mohd Arshad, 2007, Hidup Kaya Tanpa Riba, PTS Millennia Sdn. Bhd, Kuala Lumpur.
Sayyid Quthb, 2002, Tafsir Fi Zhilalil Quran jilid 6,  Gema Insani Press, Jakarta.

Laman Web
Konsep Harta menurut Islam diakses: http://duniamuslim.my/konsep-harta-menurut-islam/ pada 21/11/13
Mengapa Zakat Penting http://myibrah.com/mengapa-zakat-penting diakses pada 21/11/2013
Pengurusan harta dalamIslam,diakses:http://opzaney.wordpress.com/2007/06/26/pengurusan-harta-dalam-islam/ pada 20/11/1013

Safaee b. Zakaria, Tasawur Islam Tingkatan 5, diakses: http://tokburong.wordpress.com/nota-tasawwur-islam/ pada 21/11/2013 

Tuesday, October 8, 2013

Horee!!! akhirnya...bergraduasi juga...hahaha..xmampu nk tangkap gambar jauh2..kat area2 usm je...ni pun dah last day baru dapat tangkap gambar..xpela...yang penting I happy..hehehe..