TUGASAN SYW502
PENGURUSAN INSANIAH
ASHIKIN BT ISMAIL
PENCEGAHAN RASUAH MELALUI PEMBANGUNAN INSANIAH
PENGENALAN
Rasuah ialah penyakit sosial yang boleh mencemarkan imej sesebuah negara
dan rakyatnya. Perbuatan rasuah telah wujud sekian lama, malah telah menjadi
kebiasaan dalam kalangan masyarakat kini. Rasuah jika diterima sebagai amalan
biasa akan membawa kehancuran kepada seluruh masyarakat, bangsa dan negara.
Perlu diakui bahawa Malaysia tidak terkecuali dalam fenomena ini. Walaupun
gejala ini belum begitu berleluasa, namun kesedaran seluruh masyarakat amat
penting bagi menangani masalah ini.
Menurut Transparency
International mendefinisikan rasuah sebagai perilaku di
jabatan-jabatan atau pejabat-pejabat awam termasuklah para ahli politik dan
pegawai-pegawai, yang secara tidak wajar dan tidak sah menurut undang-undang,
memberi kekayaan kepada ahli keluarga atau sahabat handai dengan
menyalahgunakan kuasa dan kepercayaan. Manakala menurut kajian Lim Hock Earn,
Tracy Tong Pooi dan Woon Moong Vool (2009), rasuah adalah aktiviti yang
,melibatkan penawaran (memberi) dan permintaan (menerima). Penerimaan atau pemberian
suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu melakukan atau tidak
melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri
daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah dan diskaun
(Portal SPRM, 2014). Definisi rasuah menurut Islam pula adalah harta yang
diperoleh kerana terselesainya suatu kepentingan manusia (baik untuk memperoleh
keuntungan mahupun untuk menghindari kemudaratan) yang sepatutnya wajib
diselesaikan tanpa imbalan (Zaharuddin Abd Rahman, 2007).
Islam
mengharamkan rasuah dan pengharaman rasuah adalah jelas berdasarkan firman
Allah SWT yang bermaksud:
" Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta
sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah)
kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan
sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa,
padahal kamu mengetahui."
(surah Al-Baqarah : 188)
Disebut
juga dalam hadis Rasulullah SAW iaitu:
"Rasulullah s.a.w telah melaknat pemberi rasuah
dan penerima rasuah dalam penetapan keputusan (pemerintahan, pentadbiran,
kehakiman dll)"
(Riwayat At-Tirmidzi, 3/622)
Menurut kajian Mohd Shahrizal (2011), Rasuah boleh ditakrifkan seperti
berikut:
(a) Wang, derma, pinjaman,
hadiah cagaran berharga harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa
jenis harta, sama ada alih atau tak alih, atau apa-apa manfaat;
(b) Apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau
perkhidmatan dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan
perkhidmatan atas apa-apa sifat;
(c) Apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa
pinjaman, obligasi atau liabiliti lain sama ada keseluruhannya atau sebahagian
daripadanya;
(d) Apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat,
bonus, potongan atau peratusan;
(e) Apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa
wang atau nilai wang atau benda berharga;
(f) Apa-apa jenis
perkhidmatan atau pertolongan lain seperti perlindungan daripada apa-apa
penalti atau ketidakupayaan yang dikenakan yang dikhuatiri atau daripada
apa-apa tindakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah
sama ada tidak atau sudah dimulakan dan termasuk penggunaan atau menahan diri
daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi.
Berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009)
(Akta 694), terdapat empat kesalahan rasuah utama iaitu yang pertama meminta
atau menerima rasuah [seksyen 16 & 17 (a) ASPRM 2009], kedua menawar
atau memberi suapan [seksyen 17(b) ASPRM 2009], yang ketiga, mengemukakan
tuduhan palsu [seksyen 18 ASPRM 2009] dan yang keempat menggunakan jawatan atau
kedudukan untuk suapan pegawai badan awam [seksyen 23 ASPRM 2009].
FAKTOR PENDORONG AKTIVITI RASUAH DI MALAYSIA
Jika diteliti, walaupun rasuah merupakan perkara yang salah di sisi
undang-undang mahupun agama namun masih banyak kes berkaitan rasuah yang
dilaporkan. Beberapa kes rasuah yang dilaporkan antaranya kes Timbalan Pengarah
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan isterinya yang telah
menerima rasuah sebanyak RM250 000.00 (Berita Harian, 2013), kes rasuah
Pengarah Kastam Perak Datuk Mohd Nasir Said dan Pengarah Kastam Kuala Lumpur
Datuk Mohd Isa Endot yang menghadapi tuduhan rasuah membabitkan penyeludupan
arak tanpa cukai (Berita Harian, 2014). Kes Bekas
Setiausaha Politik Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Suhaimi Ibrahim yang
ditahan untuk membantu siasatan berhubung penyelewengan program 1Azam yang
dikhaskan untuk membantu golongan berpendapatan rendah (The Malaysian Insider,
2013). Kes Bekas
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don didapati bersalah kerana terlibat
dalam rasuah (The Malaysian Insider, 2013). Berdasarkan
kes-kes yang dilaporkan, rasuah berlaku bukan sahaja dalam kalangan golongan
bawahan malahan diperingkat profesional.
Apakah yang menjadi punca kepada masalah ini sehingga menyebabkan golongan
profesional turut terlibat dalam aktiviti rasuah? Menurut pandangan penulis,
rasuah yang berlaku disebabkan oleh banyak faktor namun penulis memfokuskan
kepada tiga faktor iaitu yang pertama faktor kuasa, kedua, faktor kelemahan
dalaman dan yang ketiga, faktor modenisasi. Melalui kuasa seseorang individu
mempunyai keupayaan melakukan sesuatu mengikut bidang kuasa yang ada. Contoh
kuasa yang dimiliki sama ada melalui pelantikan jawatan mahupun kuasa
pentadbiran melalui pilihan raya. Faktor kedua iaitu faktor kelemahan dalaman
boleh dibahagikan kepada dua iaitu kelemahan pengurusan dan juga kelemahan
individu. Antara kelemahan pengurusan ialah dari aspek kepimpinan dalam
institusi. Institusi tersebut tidak diuruskan menggunakan kaedah pengurusan
institusi berteraskan Islam hingga mengakibatkan berlakunya rasuah. Kelemahan
individu adalah dari aspek keimanan. Individu yang terlibat dengan rasuah
mempunyai sikap tamak dengan harta kekayaan dan tidak dapat mengawal nafsu dan
kemahuannya. Faktor modenisasi pula dikaitkan dengan rasuah kerana akibat
daripada kemajuan pembangunan negara telah memberi tekanan kepada individu dan
masyarakat untuk mempunyai kehidupan yang selesa. Akibat daripada itu, jalan
mudah untuk mendapat kekayaan adalah dengan rasuah.
LANGKAH MENGATASI RASUAH MELALUI PENDEKATAN PEMBANGUNAN INSANIAH
Setiap masalah mempunyai jalan penyelesaian, sama juga seperti masalah
rasuah. Berdasarkan ketiga-tiga faktor berlakunya rasuah, penulis mencadangkan
cara untuk mengatasi aktiviti rasuah adalah melalui pendekatan pembangunan
insaniah. Bagi faktor kuasa, rasuah boleh diatasi sekiranya individu tersebut
berfungsi sebagai abdillah dan khalifatullah. Abdillah bermaksud hamba Allah SWT manakala khalifatullah bermaksud khalifah Allah SWT di muka
bumi. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003), ketetapan fungsi khusus manusia
ini telah berlaku ketika di alam roh. Dalam bentuk roh, fungsi pertama manusia
ditetapkan. Fungsi ini ditetapkan Allah SWT melalui satu pertanyaan kepada
semua roh sebagaimana yang telah diceritakan oleh Allah SWT dalam al-Qur’an
yang bermaksud:
“Dan
(ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi
mereka dan Allah SWT mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya
berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan
kami), kami menjadi saksi’. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari
kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang
yang lengah terhadap ini (keEsaan Tuhan)”
(surah
al-A’raff 7:172)
Dari ayat ini jelas membuktikan bahawa sejak dari alam roh, manusia telah
mengakui bahawa Allah SWT adalah Tuhan dan manusia adalah hamba. Selain itu,
status sebagai khalifah Allah SWT juga jelas tergambar dalam firman Allah yang
bermaksud:
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku
hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. Mereka berkata: “Mengapa
engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan
padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji
Engkau dan mensucikan Engkau?’ Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui
apa yang tidak kamu ketahui”
(surah al-Baqarah 2:30)
Jika kuasa menjadi punca kepada rasuah, melalui pendekatan ini rasuah dapat
dibanteras. Hal ini kerana walaupun seseorang individu mempunyai kuasa yang
tertinggi dalam sesuatu institusi mahupun organisasi namun individu tersebut
masih perlu berfungsi sebagai hamba dan khalifah Allah SWT. Jika berfungsi
sebagai hamba, maka individu tersebut perlu sentiasa melaksanakan perintah
Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Berdasarkan surah al-Baqarah ayat 188 dan
hadis Rasulullah SAW maka jelas bahawa rasuah adalah haram di sisi Islam dan
ditegah. Selain fungsi sebagai hamba, seseorang individu juga perlu berfungsi
sebagai khalifah. Sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi ini maka Allah telah
mengamanahkan kepada manusia untuk mengimarahkan bumi ini. Oleh itu sekiranya
seseorang individu mengamalkan rasuah yang semestinya telah mendatangkan
keburukan kepada diri, masyarakat dan juga agama dan negara maka tidak
bertepatan dengan fungsi manusia sebagai khalifah. Oleh itu, perlu ada
kesedaran diri tentang fungsi manusia adalah sebagai hamba dan khalifah dan sesungguhnya,
kuasa bukanlah matlamat manusia sebaliknya matlamat yang perlu dicapai adalah
keredaan Allah SWT.
Faktor yang kedua iaitu kelemahan dalam sama ada kelemahan dari aspek
pengurusan mahupun kelemahan individu boleh diatasi melalui pembangunan insaniah.
Bagi kelemahan pengurusan, pengurus perlu mengurus setiap apa yang diamanahkan
kepadanya dengan sempurna. Sebagai contoh, apabila seseorang pengurus
diamanahkan untuk memegang jawatan sebagai ketua operasi maka pengurus tersebut
perlu memastikan setiap pelaksanaan kerja yang dilakukan oleh orang bawahan
dilakukan dengan sempurna. Sebagai seorang pengurus yang memegang fungsi
sebagai hamba dan khalifah juga tidak boleh lari daripada berakhlak. Setiap
perbuatan yang dilakukan perlu dilakukan dengan berakhlak. Sebagai contoh dalam
melaksanakan tugas perlu ada rasa tanggungjawab dan jujur. Jika cara ini
diamalkan oleh pengurus maka tidak mustahil rasuah dapat dihapuskan. Bagi
faktor kelemahan individu pula dapat diatasi dengan pengurusan nafsu melalui pembangunan
insaniah. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003) dari perspektif Tauhid
Allah SWT telah menetapkan rezeki bagi setiap makhluknya seperti firman Allah
yang bermaksud:
“Jangan
kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan. Kamilah yang akan memberi
rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah
satu dosa yang besar”.
(surah
al-Israa”, 17:31)
“Dan
janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan. Kami akan
memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka”
(surah
al-An’aam 6:151)
Berdasarkan ayat tersebut boleh dirumuskan bahawa rezeki setiap manusia
telah dijamin oleh Allah SWT. Rezeki dikurniakan secara berbeza-beza dari segi
kuantiti namun perbezaan kuantiti tidak bererti bahawa rezeki yang diberikan
bersifat terhad. Hal ini kerana dalam Islam terdapat pengagihan semula rezeki
seperti zakat dan sedekah. Oleh sebab itu, nilai rezeki tidak terletak pada
nilai kuantitatif sebaliknya lebih kepada nilai kualitatif. Selain itu rezeki
juga berkait rapat dengan konsep barakah.
Allah mengurniakan rezeki kepada semua umat manusia berdasarkan sifat Pemurah.
Namun bagi manusia yang beriman dan bertakwa Allah mengurniakan rezeki dengan
sifat Pemurah dan Pengasih. Bagi golongan yang mendapat barakah ini, rezeki
yang sedikit sudah membawa rasa cukup dan puas.
Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003), Kepuasan berkait rapat dengan
kemahuan dan kemahuan pula didorong oleh nafsu. Terdapat tujuh tingkat nafsu iaitu ammarah, lawwamah, mulhamah,
mutmainnah, radhiyah, mardhiyah dan kamilah. Nafsu ammarah, lawwamah dan mulhamah dikira sebagai nafsu yang jahat
manakala nafsu mutmainnah,
radhiyah, mardhiyyah dan kamilah adalah nafsu yang baik. Kemahuan yang
tidak terhad ini boleh dihadkan dengan menghapuskan nafsu-nafsu jahat dengan
menggantikan dengan nafsu-nafsu baik yang mendorong kepada sifat-sifat terpuji
(mahmudah). Hal ini boleh dilakukan dengan membersihkan hati (tazkiyah
an-nafs) sama ada melalui mujahadatunnafsi,
radhiah an-anfs, tarbiyah an-nafs atau
sebagainya. Dengan nafsu-nafsu yang baik inilah kemahuan manusia boleh
dihadkan. Berdasarkan hujah yang dikemukakan, penulis berpendapat bahawa
masalah rasuah dapat diatasi jika kemahuan dapat dihadkan melalui kaedah
membersihkan hati ini dilaksanakan. Namun perkara ini perlu kesedaran diri
daripada individu mahupun masyarakat itu sendiri. Hal ini kerana
perkara-perkara yang melibatkan dalaman diri individu hanya boleh diubah oleh
individu tersebut seperti firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum
kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ”
(Surah Ar-Rad,13:11)
Faktor yang ketiga yang berkait rapat dengan rasuah ialah faktor
modenisasi. Kemajuan pembangunan menuntut banyak pengorbanan yang perlu
dilakukan. Negara yang maju selalunya akan mengalami inflasi. Hal ini akan
memberi kesan kepada masyarakat. Walaupun Malaysia belum mencapai status negara
maju namun pembangunan yang berlaku di Malaysia amat pesat. Akibat daripada
desakan kemajuan, manusia akan berlumba-lumba untuk hidup dalam kemewahan. Jika
dilihat dari aspek Islam, kepenggunaan boleh dibahagikan kepada lima iaitu
penggunaan untuk asas (dharuriyat), kemudahan (hajiyat),
keselesaan (tahsiniyat), kemewahan (kamaliyat) dan kemudaratan (tarafiyat).
Jika kepenggunaan ini hanya untuk perkara asas, kemudahan dan juga keselesaan
hidup maka tidak akan timbul masalah. Namun sekiranya kemahuan yang didorong
oleh nafsu tidak diuruskan dengan baik melalui kaedah penyucian jiwa maka akan
berlaku penggunaan bagi tujuan kemewahan hingga membawa kemudaratan. Rasuah
dilihat sebagai satu kemudaratan apabila kemahuan melebihi daripada kemampuan.
Jadi untuk memenuhi kemahuan yang tidak dibendung maka berlaku rasuah. Oleh
itu, saranan penulis, jika pembangunan insaniah dilakukan bagi membanteras
rasuah, mungkin masalah ini dapat diatasi.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, dalam menangani masalah rasuah, bukan hanya faktor fizikal
sahaja yang perlu diberi perhatian sebaliknya faktor dalaman yang melibat
rohani dan spiritual juga perlu diberi perhatian. Hal ini kerana sekiranya
rohani seseorang individu dapat dibangunkan melalui kaedah pembangunan
insaniah, tidak mustahil masalah rasuah dapat ditangani dengan baik. Ini
disebabkan kaedah-kaedah pembangunan insaniah sentiasa mengaitkan fungsi
manusia sebagai hamba dan khalifah dan kepentingan pelaksanaan fungsi tersebut
bagi mencapai keredaan Allah SWT. Selain itu kaedah penyucian jiwa juga amat
penting kerana setiap manusia terdiri daripada roh yang apabila berfikir
dipanggil akal, apabila berperasaan dipanggil hati dan apabila berkeinginan
dipanggil nafsu. Oleh itu apabila jiwa diurus dengan baik maka jasad seseorang
itu juga akan melakukan perkara yang baik.
RUJUKAN
Berita Harian Online (2014) . diakses daripada http://www2.bharian.com.my/bharian/articles/Kesrasuah_TimbalanPengarahSKMM_isteridipenjara/Article
pada 12/11/2014.
Lim Hock Earn Tracy Tong Pooi Yee dan Woon Moong Vool. (2009)Kesanggupan
memberi rasuah di Kalangan Pelajar Universiti. diakses daripada
http://www.ukm.my/fep/jem/pdf/2009-43/jeko_43-3.pdf pada 11/11/2014.
Mohd Shahrizal. (2011). Kajian Mengenai Kes Rasuah. diakses daripada
http://www.scribd.com/doc/60183524/kajian-kes-mengenai-rasuah pada 13/11/2014
pada 11/11/2014
Muhammad Syukri Salleh. (2003). Tujuh
Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editions Sdn.
Bhd.
Portal SPRM. (2014). Diakses daripada
http://www.sprm.gov.my/apa-itu-rasuah.html pada 12/11/2014.
The Malaysian Insider. (2013). Diakses daripada http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/sprm-tahan-bekas-setiausaha-politik-shahrizat-bantu-siasatan-rasuah
pada 12/11/2014.
Transparency International (2014) diakses daripada
http://www.transparency.org/ pada 11/11/2014.
Zaharuddin Abd Rahman (2007). Diakses daripada http://zaharuddin.net/kewangan/622-gejala-rasuah--bentuk-kesan-a-statistik-malaysia.html
pada 12/11/2014.