Thursday, November 13, 2014



TUGASAN SYW502
PENGURUSAN INSANIAH
ASHIKIN BT ISMAIL


PENCEGAHAN RASUAH MELALUI PEMBANGUNAN INSANIAH


PENGENALAN

Rasuah ialah penyakit sosial yang boleh mencemarkan imej sesebuah negara dan rakyatnya. Perbuatan rasuah telah wujud sekian lama, malah telah menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat kini. Rasuah jika diterima sebagai amalan biasa akan membawa kehancuran kepada seluruh masyarakat, bangsa dan negara. Perlu diakui bahawa Malaysia tidak terkecuali dalam fenomena ini. Walaupun gejala ini belum begitu berleluasa, namun kesedaran seluruh masyarakat amat penting bagi menangani masalah ini.

Menurut Transparency International mendefinisikan rasuah sebagai perilaku di jabatan-jabatan atau pejabat-pejabat awam termasuklah para ahli politik dan pegawai-pegawai, yang secara tidak wajar dan tidak sah menurut undang-undang, memberi kekayaan kepada ahli keluarga atau sahabat handai dengan menyalahgunakan kuasa dan kepercayaan. Manakala menurut kajian Lim Hock Earn, Tracy Tong Pooi dan Woon Moong Vool (2009), rasuah adalah aktiviti yang ,melibatkan penawaran (memberi) dan permintaan (menerima). Penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah dan diskaun (Portal SPRM, 2014). Definisi rasuah menurut Islam pula adalah harta yang diperoleh kerana terselesainya suatu kepentingan manusia (baik untuk memperoleh keuntungan mahupun untuk menghindari kemudaratan) yang sepatutnya wajib diselesaikan tanpa imbalan (Zaharuddin Abd Rahman, 2007).

Islam mengharamkan rasuah dan pengharaman rasuah adalah jelas berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:

" Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui."
(surah Al-Baqarah : 188)

Disebut juga dalam hadis Rasulullah SAW iaitu:

"Rasulullah s.a.w telah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam penetapan keputusan (pemerintahan, pentadbiran, kehakiman dll)"
(Riwayat  At-Tirmidzi, 3/622)


Menurut kajian Mohd Shahrizal (2011), Rasuah boleh ditakrifkan seperti berikut:
(a)  Wang, derma, pinjaman, hadiah cagaran berharga harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, atau apa-apa manfaat;
(b)  Apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat;
(c)  Apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya;
(d)  Apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan;
(e)  Apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga;
(f)  Apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain seperti perlindungan daripada apa-apa penalti atau ketidakupayaan yang dikenakan yang dikhuatiri atau daripada apa-apa tindakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah sama ada tidak atau sudah dimulakan dan termasuk penggunaan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi.

Berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009) (Akta 694), terdapat empat kesalahan rasuah utama iaitu yang pertama meminta atau menerima rasuah [seksyen 16 & 17 (a) ASPRM 2009], kedua menawar atau memberi suapan [seksyen 17(b) ASPRM 2009], yang ketiga, mengemukakan tuduhan palsu [seksyen 18 ASPRM 2009] dan yang keempat menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan pegawai badan awam [seksyen 23 ASPRM 2009].

FAKTOR PENDORONG AKTIVITI RASUAH DI MALAYSIA

Jika diteliti, walaupun rasuah merupakan perkara yang salah di sisi undang-undang mahupun agama namun masih banyak kes berkaitan rasuah yang dilaporkan. Beberapa kes rasuah yang dilaporkan antaranya kes Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan isterinya yang telah menerima rasuah sebanyak RM250 000.00 (Berita Harian, 2013), kes rasuah Pengarah Kastam Perak Datuk Mohd Nasir Said dan Pengarah Kastam Kuala Lumpur Datuk Mohd Isa Endot yang menghadapi tuduhan rasuah membabitkan penyeludupan arak tanpa cukai (Berita Harian, 2014). Kes Bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Suhaimi Ibrahim yang ditahan untuk membantu siasatan berhubung penyelewengan program 1Azam yang dikhaskan untuk membantu golongan berpendapatan rendah (The Malaysian Insider, 2013). Kes Bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don didapati bersalah kerana terlibat dalam rasuah (The Malaysian Insider, 2013). Berdasarkan kes-kes yang dilaporkan, rasuah berlaku bukan sahaja dalam kalangan golongan bawahan malahan diperingkat profesional.

Apakah yang menjadi punca kepada masalah ini sehingga menyebabkan golongan profesional turut terlibat dalam aktiviti rasuah? Menurut pandangan penulis, rasuah yang berlaku disebabkan oleh banyak faktor namun penulis memfokuskan kepada tiga faktor iaitu yang pertama faktor kuasa, kedua, faktor kelemahan dalaman dan yang ketiga, faktor modenisasi. Melalui kuasa seseorang individu mempunyai keupayaan melakukan sesuatu mengikut bidang kuasa yang ada. Contoh kuasa yang dimiliki sama ada melalui pelantikan jawatan mahupun kuasa pentadbiran melalui pilihan raya. Faktor kedua iaitu faktor kelemahan dalaman boleh dibahagikan kepada dua iaitu kelemahan pengurusan dan juga kelemahan individu. Antara kelemahan pengurusan ialah dari aspek kepimpinan dalam institusi. Institusi tersebut tidak diuruskan menggunakan kaedah pengurusan institusi berteraskan Islam hingga mengakibatkan berlakunya rasuah. Kelemahan individu adalah dari aspek keimanan. Individu yang terlibat dengan rasuah mempunyai sikap tamak dengan harta kekayaan dan tidak dapat mengawal nafsu dan kemahuannya. Faktor modenisasi pula dikaitkan dengan rasuah kerana akibat daripada kemajuan pembangunan negara telah memberi tekanan kepada individu dan masyarakat untuk mempunyai kehidupan yang selesa. Akibat daripada itu, jalan mudah untuk mendapat kekayaan adalah dengan rasuah.

LANGKAH MENGATASI RASUAH MELALUI PENDEKATAN PEMBANGUNAN INSANIAH

Setiap masalah mempunyai jalan penyelesaian, sama juga seperti masalah rasuah. Berdasarkan ketiga-tiga faktor berlakunya rasuah, penulis mencadangkan cara untuk mengatasi aktiviti rasuah adalah melalui pendekatan pembangunan insaniah. Bagi faktor kuasa, rasuah boleh diatasi sekiranya individu tersebut berfungsi sebagai abdillah dan khalifatullah. Abdillah bermaksud hamba Allah SWT manakala khalifatullah bermaksud khalifah Allah SWT di muka bumi. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003), ketetapan fungsi khusus manusia ini telah berlaku ketika di alam roh. Dalam bentuk roh, fungsi pertama manusia ditetapkan. Fungsi ini ditetapkan Allah SWT melalui satu pertanyaan kepada semua roh sebagaimana yang telah diceritakan oleh Allah SWT dalam al-Qur’an yang bermaksud:

“Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah SWT mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi’. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keEsaan Tuhan)”
(surah al-A’raff 7:172)

Dari ayat ini jelas membuktikan bahawa sejak dari alam roh, manusia telah mengakui bahawa Allah SWT adalah Tuhan dan manusia adalah hamba. Selain itu, status sebagai khalifah Allah SWT juga jelas tergambar dalam firman Allah yang bermaksud:

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. Mereka berkata: “Mengapa engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?’ Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”
(surah al-Baqarah 2:30)
Jika kuasa menjadi punca kepada rasuah, melalui pendekatan ini rasuah dapat dibanteras. Hal ini kerana walaupun seseorang individu mempunyai kuasa yang tertinggi dalam sesuatu institusi mahupun organisasi namun individu tersebut masih perlu berfungsi sebagai hamba dan khalifah Allah SWT. Jika berfungsi sebagai hamba, maka individu tersebut perlu sentiasa melaksanakan perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Berdasarkan surah al-Baqarah ayat 188 dan hadis Rasulullah SAW maka jelas bahawa rasuah adalah haram di sisi Islam dan ditegah. Selain fungsi sebagai hamba, seseorang individu juga perlu berfungsi sebagai khalifah. Sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi ini maka Allah telah mengamanahkan kepada manusia untuk mengimarahkan bumi ini. Oleh itu sekiranya seseorang individu mengamalkan rasuah yang semestinya telah mendatangkan keburukan kepada diri, masyarakat dan juga agama dan negara maka tidak bertepatan dengan fungsi manusia sebagai khalifah. Oleh itu, perlu ada kesedaran diri tentang fungsi manusia adalah sebagai hamba dan khalifah dan sesungguhnya, kuasa bukanlah matlamat manusia sebaliknya matlamat yang perlu dicapai adalah keredaan Allah SWT.

Faktor yang kedua iaitu kelemahan dalam sama ada kelemahan dari aspek pengurusan mahupun kelemahan individu boleh diatasi melalui pembangunan insaniah. Bagi kelemahan pengurusan, pengurus perlu mengurus setiap apa yang diamanahkan kepadanya dengan sempurna. Sebagai contoh, apabila seseorang pengurus diamanahkan untuk memegang jawatan sebagai ketua operasi maka pengurus tersebut perlu memastikan setiap pelaksanaan kerja yang dilakukan oleh orang bawahan dilakukan dengan sempurna. Sebagai seorang pengurus yang memegang fungsi sebagai hamba dan khalifah juga tidak boleh lari daripada berakhlak. Setiap perbuatan yang dilakukan perlu dilakukan dengan berakhlak. Sebagai contoh dalam melaksanakan tugas perlu ada rasa tanggungjawab dan jujur. Jika cara ini diamalkan oleh pengurus maka tidak mustahil rasuah dapat dihapuskan. Bagi faktor kelemahan individu pula dapat diatasi dengan pengurusan nafsu melalui pembangunan insaniah. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003) dari perspektif Tauhid Allah SWT telah menetapkan rezeki bagi setiap makhluknya seperti firman Allah yang bermaksud:

“Jangan kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah satu dosa yang besar”.
(surah al-Israa”, 17:31)

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan. Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka”
(surah al-An’aam 6:151)

Berdasarkan ayat tersebut boleh dirumuskan bahawa rezeki setiap manusia telah dijamin oleh Allah SWT. Rezeki dikurniakan secara berbeza-beza dari segi kuantiti namun perbezaan kuantiti tidak bererti bahawa rezeki yang diberikan bersifat terhad. Hal ini kerana dalam Islam terdapat pengagihan semula rezeki seperti zakat dan sedekah. Oleh sebab itu, nilai rezeki tidak terletak pada nilai kuantitatif sebaliknya lebih kepada nilai kualitatif. Selain itu rezeki juga berkait rapat dengan konsep barakah. Allah mengurniakan rezeki kepada semua umat manusia berdasarkan sifat Pemurah. Namun bagi manusia yang beriman dan bertakwa Allah mengurniakan rezeki dengan sifat Pemurah dan Pengasih. Bagi golongan yang mendapat barakah ini, rezeki yang sedikit sudah membawa rasa cukup dan puas.

Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003), Kepuasan berkait rapat dengan kemahuan dan kemahuan pula didorong oleh nafsu. Terdapat tujuh tingkat nafsu iaitu ammarah, lawwamah, mulhamah, mutmainnah, radhiyah, mardhiyah dan kamilah. Nafsu ammarah, lawwamah dan mulhamah dikira sebagai nafsu yang jahat manakala nafsu mutmainnah, radhiyah, mardhiyyah dan kamilah adalah nafsu yang baik. Kemahuan yang tidak terhad ini boleh dihadkan dengan menghapuskan nafsu-nafsu jahat dengan menggantikan dengan nafsu-nafsu baik yang mendorong kepada sifat-sifat terpuji (mahmudah). Hal ini boleh dilakukan dengan membersihkan hati (tazkiyah an-nafs) sama ada melalui mujahadatunnafsi, radhiah an-anfs, tarbiyah an-nafs atau sebagainya. Dengan nafsu-nafsu yang baik inilah kemahuan manusia boleh dihadkan. Berdasarkan hujah yang dikemukakan, penulis berpendapat bahawa masalah rasuah dapat diatasi jika kemahuan dapat dihadkan melalui kaedah membersihkan hati ini dilaksanakan. Namun perkara ini perlu kesedaran diri daripada individu mahupun masyarakat itu sendiri. Hal ini kerana perkara-perkara yang melibatkan dalaman diri individu hanya boleh diubah oleh individu tersebut seperti firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ”
(Surah Ar-Rad,13:11)

Faktor yang ketiga yang berkait rapat dengan rasuah ialah faktor modenisasi. Kemajuan pembangunan menuntut banyak pengorbanan yang perlu dilakukan. Negara yang maju selalunya akan mengalami inflasi. Hal ini akan memberi kesan kepada masyarakat. Walaupun Malaysia belum mencapai status negara maju namun pembangunan yang berlaku di Malaysia amat pesat. Akibat daripada desakan kemajuan, manusia akan berlumba-lumba untuk hidup dalam kemewahan. Jika dilihat dari aspek Islam, kepenggunaan boleh dibahagikan kepada lima iaitu penggunaan untuk asas (dharuriyat), kemudahan (hajiyat), keselesaan (tahsiniyat), kemewahan (kamaliyat) dan kemudaratan (tarafiyat). Jika kepenggunaan ini hanya untuk perkara asas, kemudahan dan juga keselesaan hidup maka tidak akan timbul masalah. Namun sekiranya kemahuan yang didorong oleh nafsu tidak diuruskan dengan baik melalui kaedah penyucian jiwa maka akan berlaku penggunaan bagi tujuan kemewahan hingga membawa kemudaratan. Rasuah dilihat sebagai satu kemudaratan apabila kemahuan melebihi daripada kemampuan. Jadi untuk memenuhi kemahuan yang tidak dibendung maka berlaku rasuah. Oleh itu, saranan penulis, jika pembangunan insaniah dilakukan bagi membanteras rasuah, mungkin masalah ini dapat diatasi.  

KESIMPULAN

Kesimpulannya, dalam menangani masalah rasuah, bukan hanya faktor fizikal sahaja yang perlu diberi perhatian sebaliknya faktor dalaman yang melibat rohani dan spiritual juga perlu diberi perhatian. Hal ini kerana sekiranya rohani seseorang individu dapat dibangunkan melalui kaedah pembangunan insaniah, tidak mustahil masalah rasuah dapat ditangani dengan baik. Ini disebabkan kaedah-kaedah pembangunan insaniah sentiasa mengaitkan fungsi manusia sebagai hamba dan khalifah dan kepentingan pelaksanaan fungsi tersebut bagi mencapai keredaan Allah SWT. Selain itu kaedah penyucian jiwa juga amat penting kerana setiap manusia terdiri daripada roh yang apabila berfikir dipanggil akal, apabila berperasaan dipanggil hati dan apabila berkeinginan dipanggil nafsu. Oleh itu apabila jiwa diurus dengan baik maka jasad seseorang itu juga akan melakukan perkara yang baik.




RUJUKAN

Berita Harian Online (2014) . diakses daripada http://www2.bharian.com.my/bharian/articles/Kesrasuah_TimbalanPengarahSKMM_isteridipenjara/Article pada 12/11/2014.

Lim Hock Earn Tracy Tong Pooi Yee dan Woon Moong Vool. (2009)Kesanggupan memberi rasuah di Kalangan Pelajar Universiti. diakses daripada  http://www.ukm.my/fep/jem/pdf/2009-43/jeko_43-3.pdf pada 11/11/2014.
Mohd Shahrizal. (2011). Kajian Mengenai Kes Rasuah. diakses daripada http://www.scribd.com/doc/60183524/kajian-kes-mengenai-rasuah pada 13/11/2014 pada 11/11/2014
Muhammad Syukri Salleh. (2003). Tujuh Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editions Sdn. Bhd.
Portal SPRM. (2014). Diakses daripada http://www.sprm.gov.my/apa-itu-rasuah.html pada 12/11/2014.
The Malaysian Insider. (2013). Diakses daripada http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/sprm-tahan-bekas-setiausaha-politik-shahrizat-bantu-siasatan-rasuah pada 12/11/2014.
Transparency International (2014) diakses daripada http://www.transparency.org/ pada 11/11/2014.
Zaharuddin Abd Rahman (2007). Diakses daripada http://zaharuddin.net/kewangan/622-gejala-rasuah--bentuk-kesan-a-statistik-malaysia.html pada 12/11/2014.


No comments:

Post a Comment